news center

2016.02.26

Forest City dicadangkan sebagai zon bebas cukai

Article From:    Page View:339

Country Garden Pacificview Sdn Bhd merancang menjadikan Forest City, perbandaran moden di atas pulau buatan di Iskandar Malaysia, sebagai zon bebas cukai yang keempat di negara ini.   Ia adalah antara inisiatif yang diminta untuk pertimbangan kerajaan pusat bagi menggalakkan pembangunan ekonomi dan perdagangan antara sempadan Forest City sebagai hab di rantau ini.   Pengarah Eksekutifnya, Datuk Md Othman Yusof, berkata insentif zon bebas cukai adalah antara inisiatif penting projek itu yang diharapkan mendapat pertimbangan daripada kerajaan.   Jika diluluskan, katanya, syarikat itu menjangkakan perkembangan yang paling ditunggu-tunggu rakyat Malaysia itu akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis pelancaran rasmi yang dijadualkan pada Mac ini.   "Inisiatif adalah antara perkara penting yang menarik pelabur asing, ketika ini kami sudah menikmati  insentif awal apabila kerajaan bersetuju meletakkan projek ini di bawah kawasan Iskandar Malaysia. "Banyak lagi insentif yang sudah dipersetujui dan kini kami memohon kerajaan mempertimbangkan beberapa insentif termasuk Insentif Bebas Cukai dan potongan cukai pendapatan bagi profesional asing yang bekerja di kawasan ini," katanya kepada media di sini, semalam. Ketika ini, zon bebas cukai di negara ini adalah di Pulau Langkawi, Labuan dan Pulau Tioman.      Fasa pertama pulau buatan itu dijangka akan siap menjelang 2019 meliputi Vila, Kondominium, Galeri Jualan, hab Pengangkutan, Hotel dan kawasan komersial Fishman Wharl.   Walaupun jumlah unit kediaman pegangan bebas bagi fasa pertama itu masih belum dimuktamadkan, namun dijangka ia akan berharga sekitar RM1,200 kaki persegi.   Sementara itu, Md Othman, berkata pembinaan Forest City itu akan mengimbangi bahagian pantai barat selatan Johor yang masih kurang pembangunan.   Justeru katanya, ia akan memberi manfaat yang besar kepada penduduk setempat, dan nilai yang lebih baik kepada pelabur.   "Sebelum ini banyak pembangunan berlaku sekitar pantai timur selatan Johor, kali ini kami bawakan pembangunan ke sebelah selatan barat untuk mengimbang pembangunan di negeri ini.   "Hasilnya kami menjangkakan projek ini akan mewujudkan lebih 250,000 peluang pekerjaan yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk setempat," katanya.